Thursday 1 January 2015

Rosetta: Pemburu Komet


ROSETTA: Pemburu Komet

oleh Anir Syazwan

            
Logo Rasmi Misi Angkasa Rosetta

                    Pastinya jika kita mendengar nama Rosetta, kita akan terbayangkan wajah gadis manis yang cantik dan lemah lembut, tuan empunya kepada nama itu. Meskipun begitu, nama ini juga membawa makna yang amat besar buat pakar-pakar astronomi. Rosetta merupakan pesawat angkasa pertama di dalam sejarah dunia yang berjaya mengesan, mengorbit serta melakukan pendaratan sempurna di atas sebuah komet yang bergerak. Pesawat ini sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama, prob angkasa iaitu Rosetta itu sendiri, serta Philae iaitu pendarat angkasa yang bertujuan untuk melakukan pendaratan di atas komet.

Batu Bersurat Rosetta
 Asal Usul Nama     

      Pada asalnya, nama Rosetta ini dimiliki oleh sebuah batu bersurat daripada Mesir manakala Philae merupakan sebuah tugu yang turut mengandungi tulisan kuno Mesir iaitu hieroglif. Kedua artifak bersejarah ini merupakan kunci kepada para sejarawan untuk mentafsir rahsia hieroglif. Oleh itu, nama ini telah diberikan kepada pesawat angkasa  untuk misi ke komet dengan harapan ia mampu memberi sinar terbaru kepada misteri  Sistem Solar dan kewujudan kehidupan di Bumi.
Tugu Philae


 Perjalanan dan Pendaratan

          Misi Rosetta bermula pada tarikh 2 Mac 2004 dan pesawat mula menghampiri destinasinya pada 6 Ogos 2014. Akhirnya, pada 12 November 2014, selepas tujuh tahun perjalanan dan tujuh jam pendaratan, Philae berjaya melakukan pendaratan! Bayangkan betapa lama perjalanan yang diambil oleh Rosetta hanya untuk mencapai misinya.

      Komet yang menjadi destinasi Rosetta ialah Churyumov-Gerasimenko atau Komet C-G, sempena nama ahli astronomi Ukraine yang menemuinya. Komet C-G mengelilingi matahari setiap tujuh tahun dan ia biasanya terletak berdekatan Jupiter. Sistem Solar kita sebenarnya sentiasa bergerak dalam kelajuan tinggi. Begitu juga Komet C-G, ia tidak akan berhenti rehat dan akan sentiasa bergerak dalam orbitnya. Komet ini bergerak pada kelajuan 135 000 kilometer per jam dalam orbitnya! Ini membuatkan tugas melakukan pendaratan di Komet C-G amat sukar, apatah lagi cuba untuk mengesannya. Menembak satu sasaran yang bergerak sudah menjadi satu perkara sukar bagi kita, apatah lagi apabila kita perlu menghantar pesawat ke arah satu sasaran yang tidak boleh dilihat dan bergerak dengan sangat laju? Oleh itu, pengiraan serta panduan yang kompleks diperlukan untuk mencapai sasaran misi ini.

             Sebenarnya, penghantaran pesawat ke angkasa bukan semudah melancarkan roket dan terus bergerak dengan lurus ke arah destinasi. Perjalanan di angkasa amat rumit dan memakan masa yang lama. Sebelum Rosetta tiba di Comet C-G, ia telahpun mengorbit Matahari sebanyak
Komet C-G
empat kali, tiga kali mengelilingi Bumi dan satu pusingan di Marikh. Dalam perjalanan itu, ia kerap mengawal pecutan dan arah perjalanan untuk memastikan tidak terlepas dari landasan. Di Bumi sahaja kita sudah boleh sesat, bagaimana pula jika di angkasa yang tiada atas, kiri, kanan atau bawah? Betapa hebatnya Rosetta berjaya mengharungi angkasa yang luas ini. Apa yang lebih menarik lagi, Rosetta berjaya melengkapkan perjalanannya dengan bergantung hampir sepenuhnya kepada kuasa Matahari! 

             Pendaratan Philae juga bukan perkara yang mudah. Philae sebenarnya telah terlantun balik daripada permukaan komet sebanyak dua kali sebelum berjaya melakukan pendaratan. Saat Philae mendarat, ahli astronomi seluruh dunia bergembira dan seronok akan pencapaian misi Rosetta. Bukan itu sahaja, mereka bersemangat untuk mengetahui apakah penemuan terbaru yang bakal dirungkai oleh Rosetta. 


Saat gembira para saintis meraikan pendaratan Philae
  
 Bentuk dan Saiz Pesawat

          Rosetta pada asasnya cuma sebuah kotak aluminium dengan dua panel solar berupa sayap pada sisinya, manakala Philae juga kotak yang bersaiz peti ais. Namun begitu, pesawat ini mengandungi lebih daripada 20 instrumen berteknologi tinggi untuk melakukan kajian ke atas komet. 


Rosetta dan Philae

     
 Hasil Penemuan
           
       Antara penemuan pertama Rosetta ialah kandungan air di Komet C-G yang berbeza dengan air di Bumi. Penemuan ini memberikan petunjuk penting kepada saintis mengenai asal usul air di Bumi. Pada asalnya, saintis tertanya-tanya dan hairan berkenaan asal usul air lautan di Bumi yang begitu banyak sehingga menenggelami dua pertiga Bumi. Hipotesis asal para saintis mengatakan air lautan daripada Bumi berasal daripada komet tetapi berdasarkan penemuan ini, kemungkinan asteroid merupakan sistem penghantaran semula jadi air ke Bumi.
Matt Taylor, ketua misi Rosetta

          Kini, Rosetta masih mengekori Komet C-G dengan rapat. Ia masih dalam keadaan hibernasi dan jika ia berjaya mengumpul cahaya matahari yang mencukupi, para saintis berharap agar lebih banyak data terbaru yang dihantar oleh Rosetta. 


       Matt Taylor, ketua para saintis misi Rosetta pernah berkata, "Komet C-G akan sentiasa memberi kejutan baru dan membuka minda kita tentang pemahaman sebenar Sistem Solar. Rosetta akan terus berkhidmat untuk mengumpul data mengenai Komet C-G dan memberikan kita pandangan terbaru mengenai misteri dunia komet dan sumbangan ia kepada pemahaman mengenai evolusi Sistem Solar kita."

Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh mengunjungi laman web di bawah.


Sumber Rujukan:
  1. http://www.space.com/24292-rosetta-spacecraft.html
  2. http://rosetta.esa.int/
  3. http://www.esa.int/Our_Activities/Space_Science/Rosetta/
  4. http://gizmodo.com/rosettas-lander-has-found-organic-molecules-on-its-come-1660205869
  5. http://rosetta.jpl.nasa.gov/


          

No comments:

Post a Comment