Monday 29 December 2014

PROJEK PERINTIS ZUHRAH (PIONEER VENUS PROJECT)

Ditulis oleh: Nasuha binti Salehhon (4SSCZ, Fakulti Sains, UTM. 2014) ^_^


PENGENALAN


Projek Perintis Zuhrah merupakan sebahagian daripada “Program Perintis”, terdiri daripada dua kapal angkasa yang dilancarkan ke Zuhrah pada tahun 1978. Program ini telah dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Ames NASA (National Aeronautics and Space Administration). Kedua-dua kapal angkasa tersebut dinamakan sebagai Pengorbit Perintis Zuhrah dan Prob Pelbagai Perintis Zuhrah yang merupakan kapal angkasa pertama Amerika Syarikat bagi tujuan mengkaji planet Zuhrah dengan lebih terperinci. Kedua-duanya merupakan kapal angkasa tanpa manusia dan telah berjaya memberikan maklumat kepada para saintis tentang keadaan Zuhrah yang ekstrim.

PENGORBIT PERINTIS ZUHRAH (PERINTIS ZUHRAH 1/PERINTIS 12)


Pelancaran dan Ciri-ciri

Pengorbit Perintis Zuhrah atau turut dikenali sebagai Perintis Zuhrah 1 atau Perintis 12 ialah sebuah misi ke Zuhrah di bawah Program Perintis. Pengorbit ini telah dilancarkan tepat jam 1.13 petang pada 20 Mei 1978 oleh roket Atlas SLV-3D Centaur-D1AR, yang terbang dari Kompleks Pelancaran 36A di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral dan dimasukkan ke dalam orbit elips sekitar Zuhrah pada 4 Disember 1978.

Kapal angkasa pengorbit ini telah dihasilkan oleh Hughes Aircraft Company dan penghasilannya adalah berdasarkan kepada model bas HS-507, iaitu sebuah bas satelit atau bas angkasa lepas. Perintis Zuhrah 1 seberat 517 kg mempunyai struktur silinder yang rata, berukuran diameter 2.5 meter dan panjang 1.2 meter. Kesemua peralatan dan subsistem kapal angkasa dipasang di bahagian hadapan hujung silinder, kecuali magnetometer yang dipasang di bahagian ledakan.

Pada tahun 1992, ‘Radar Mapper’ telah diaktifkan semula untuk mengkaji bahagian selatan planet Zuhrah yang sebelum ini gagal diakses di Bumi, bersama-sama dengan kapal angkasa Magellan yang baru tiba. Pada bulan Mei 1992, Perintis 12 memulakan fasa terakhir bagi misinya sehingga dorong kapal angkasa menjadi lemah dan orbit mereput secara semulajadi. Kapal angkasa ini berjaya menghantar data dari Zuhrah sehingga 8 Oktober 1992 dan data terakhir yang diterima daripadanya adalah pada pukul 7.22 malam. Pengorbit ini terbakar dan berkecai apabila memasuki atmosfera planet Zuhrah pada tarikh 22 Oktober 1992.

Pengorbit Perintis Zuhrah

Ekperimen dan Kejayaan

Pengorbit Perintis Zuhrah telah membawa sejumlah 17 eksperimen dengan berat sebanyak 45 kg. Antara eksperimen yang telah dibawa bersama-sama pengorbit ini ke planet Zuhrah adalah bertujuan untuk mengukur taburan menegak awan, pelepasan ‘infrared (IR)’ dari atmosfera Zuhrah, taburan dan pancaran cahaya ‘ultraviolet (UV)’ dan sifat angin solar, serta mengenal pasti komposisi atmosfera atas dan graviti planet Zuhrah.

Imej planet Zuhrah dalam cahaya ultraviolet (UV) yang berjaya dirakam oleh Pengorbit Perintis Zuhrah

Antara kejayaan yang berjaya dicapai oleh Perintis 12 ialah kapal angkasa ini berjaya menjalankan pemerhatian radar altimetri yang membolehkan peta topografik global permukaan planet Zuhrah yang pertama dibentuk. Selain itu, kapal angkasa ini juga telah berjaya mengesan komet Halley dari orbit Zuhrah, di mana komet ini tidak dapat dikesan dari Bumi berikutan jarak Bumi dan Matahari yang begitu dekat pada bulan Februari 1986.

Peta planet Zuhrah yang berjaya dihasilkan daripada data terkumpul Pengorbit Perintis Zuhrah


PROB PELBAGAI PERINTIS ZUHRAH 

(PERINTIS ZUHRAH 2/PERINTIS 13)


Pelancaran dan Ciri-ciri

Prob Pelbagai Perintis Zuhrah atau juga dikenali sebagai Perintis Zuhrah 2 atau Perintis 13 merupakan kapal angkasa kedua di bawah Projek Perintis Zuhrah yang dilancarkan pada tahun 1978. Prob ini terdiri daripada sebuah prob besar dan tiga prob kecil. Prob ini telah dilancarkan tepat jam 7.33 pagi pada 8 Ogos 1978 oleh roket Atlas SLV-3D Centaur-D1AR, yang terbang dari Kompleks Pelancaran 36A di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral dan dimasukkan ke dalam orbit intoheliosentrik Zuhrah.

Seperti Pengorbit Perintis Zuhrah, prob ini turut dihasilkan oleh syarikat yang sama iaitu Hughes Aircraft Company dan penghasilannya adalah berdasarkan kepada model bas satelit yang sama, HS-507. Bas Perintis Zuhrah 2 mempunyai bentuk silinder berdiameter 2.5 meter dan berat 290 kg. Prob besar adalah seberat 315 kg manakala tiga prob kecil mempunyai berat 90 kg setiap satu.


Prob Pelbagai Perintis Zuhrah di angkasa

Prob besar telah dilepaskan dari bas satelit pada 16 November 1978 manakala prob kecil pula pada 20 November 1978. Kesemua prob tiba di planet Zuhrah pada 9 Disember 1978. Prob besar ialah prob pertama yang memasuki ruang atmosfera Zuhrah pada pukul 6.45 petang diikuti oleh tiga prob kecil 11 minit kemudian. Daya kemasukan ke atas prob adalah melebihi 300g, namun prob berjaya melaksanakan misi dengan baik, menghantar maklumat ke Bumi sehingga berlaku hentaman di permukaan planet Zuhrah kurang daripada sejam setelah prob memasuki ruang atmosfera planet.

Eksperimen

Perintis Zuhrah 2 disasarkan untuk memasuki atmosfera Zuhrah pada sudut kemasukan cetek dan menghantar data sehingga dimusnahkan oleh haba hasil geseran atmosfera. Objektif kapal angkasa ini dilancarkan adalah untuk mengkaji struktur dan komposisi atmosfera sehingga ke permukaan, sifat dan komposisi awan, medan radiasi dan pertukaran tenaga di atmosfera yang lebih rendah dan mengkaji maklumat pada corak peredaran atmosfera. Tanpa perisai haba atau payung terjun, prob ini membuat pengukuran atmosfera atas dengan menggunakan dua peralatan iaitu Spektrometer Jisim Ion (BIMS) dan Spektrometer Jisim Neutral (BNMS) dan kemudiannya turun ke ketinggian kira-kira 110 km sebelum berkecai pada tarikh 9 Disember 1978.
  
Prob Pelbagai Perintis Zuhrah

Kapal angkasa Perintis 13 membawa sebuah prob atmosfera besar dan tiga buah yang lain bersaiz kecil. Prob-prob tersebut telah direka bagi mengumpulkan data sebaik sahaja tiba di atmosfera planet Zuhrah. Kapal angkasa ini tidak membawa sebarang peralatan fotografi bersama-sama dan rekaannya tidak dibentuk untuk bertahan apabila mendarat. Prob-prob kecil tidak dilengkapi dengan payung terjun, manakala payung terjun bagi prob besar dijangkakan akan tanggal apabila menghampiri daratan. Keempat-empat prob terus menghantar data sehingga berlakunya hentaman, namun terdapat sebuah prob yang terselamat iaitu Prob Siang dan terus menghantar data dari permukaan selama lebih satu jam.

Prob Besar dan Prob Kecil

Prob Kecil


Prob besar mempunyai diameter kira-kira 150 cm dan vesel tekanan pula berdiameter 73.2 cm. Prob ini membawa sejumlah tujuh eksperimen untuk dikaji meliputi kajian tentang komposisi atmosfera, saiz dan bentuk zarah, zarah awan dan penembusan fluks solar. Prob kecil pula mempunyai diameter sebesar 80 cm. Setiap satu prob kecil membawa bersama-sama nephelometer dan sensor suhu, tekanan dan pecutan, serta eksperimen radiometer fluks untuk memetakan taburan sumber dan sinki bagi tenaga sinaran di atmosfera. Isyarat radio dari keempat-empat prob turut digunakan untuk mencirikan angin, pergolakan dan pembiakan di atmosfera. Prob-prob kecil masing-masing disasarkan ke bahagian Zuhrah yang berbeza dan setiap prob diberikan nama mengikut bahagian sasaran tersebut iaitu Prob Utara, Prob Malam dan Prob Siang. 

SUMBER:
  • http://www.nasa.gov/mission_pages/pioneer-venus/
  • https://www.princeton.edu/~achaney/tmve/wiki100k/docs/Pioneer_Venus_project.html
  • http://californiasciencecenter.org/exhibits/air-space/mission-to-the-planets/pioneer-venus
  • http://www.bbc.co.uk/science/space/solarsystem/space_missions/pioneer_venus_project
  • http://en.wikipedia.org/wiki/Pioneer_Venus_Orbiter
  • http://en.wikipedia.org/wiki/Pioneer_Venus_Multiprobe

















No comments:

Post a Comment